Selain daripada tajuk-tajuk karangan yang bertemakan kehidupan pelajar, anda juga perlu cakna dengan tajuk yang menyentuh pengetahuan am seperti ekonomi negara. Dengan pembacaan dan latihan yang banyak, pelajar mampu untuk menjawab soalan-soalan yang berkaitan dengan tema tersebut. Sebagai rujukan, di bawah dikongsikan contoh karangan kesan industri pelancongan kepada negara (Positif & Negatif).
Semasa pandemik COVID-19 melanda dunia pada tahun 2020 dan 2021, industri pelancongan merupakan antara industri yang terjejas teruk. Lebih-lebih lagi masyarakat tempatan di kawasan luar bandar yang bergantung kepada ekonomi pelancongan sebelum ini. Oleh yang demikian, tajuk seperti ini penting untuk dibincangkan supaya dapat membuka minda dan mengambil teladan terbaik kepada semua lapisan masyarakat.
Contoh Karangan Kesan Positif Dan Negatif Industri Pelancongan Kepada Negara Malaysia
Budaya melancong bukanlah asing dalam masyarakat kita tetapi kedatangan pelancong asing sedikit sebanyak memberikan kesan kepada negara.
Oleh itu, berikut dikongsikan contoh karangan beserta isi-isi penting yang sesuai dengan tajuk kesan industri pelancongan kepada negara (Positif & Negatif).
Isi-isi penting
- Kemajuan infrastruktur seperti jalan raya dan lapangan terbang
- Membuka peluang pekerjaan
- Memperkenalkan budaya tempatan ke mata dunia
- Kemusnahan flora dan fauna
- Kehadiran budaya asing yang negatif
- Meningkatkan kadar pencemaran
Pendahuluan
Malaysia mencatatkan jumlah kedatanagn pelancong asing ke dalam negaa seramai 20 juta pengunjung dalam tempoh Januari hingga September 2019. Statistik yang diumumkan oleh Menteri Pelancongan ketika itu turut berkata bahawa jumlah pendapatan pelancongan adalah sebanyak RM66.1 bilion. Jumlah yang besar ini cukup untuk membuktikan bahawa industri pelancongan adalah signifikan untuk negara kita.
Namun begitu, setiap perbuatan kita mempunyai baik dan buruknya. Industri yang dilihat memaparkan keunikan dan keindahan negara kita kepada pelancong asing sebenarnya mempunyai kesan yang tidak menguntungkan kita sebagai masyarakat tempatan. Oleh itu, mari kita huraikan kesan industri pelancongan kepada negara (Positif & Negatif) untuk pengetahuan semua.
Isi 1
Pertama sekali, kesan positif kemajuan industri pelancongan di Malaysia adalah kita dapat menikmati kemajuan infrastruktur seperti jalan raya dan lapangan terbang. Pembinaan infrastruktur ini penting bukan sahaj untuk menggerakkan ekonomi tempatan tetapi juga menarik kedatanagn pelancong asing untuk datang ke tanah air kita. Mereka ingin berasa selesa apabila berkunjung ke pusat pelancongan dengan menaiki kapal terbang atau kereta api.
Pembukaan Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) pada tahun 1998 telah mencetuskan peningkatan kehadiran pelancong asing ke dalam negara. Kini, pelancong boleh menaiki kapal terbang untuk ke Pulau Pinang, Sarawak dan juga Sabah untuk mengunjungi pusat-pusat pelancongan yang menarik dan berbeza dengan pusat pelancongan di ibu kota, Kuala Lumpur. Kesan ini bukan sahaja memberi keselesaan kepada pelancong tetapi juga penting untuk kemudahan masyarakat tempatan.
Isi 2
Kesan positif yang lain adalah budaya tempatan dapat diperkenalkan ke mata dunia melalui kerancakan industri pelancongan. Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk memiliki adat dan budaya yang menarik serta berbeza untuk dialami oleh masyarakat asing. Perpaduan yang telah dijalinkan sejak berpuluh tahun dahulu sewajarnya menjadi teladan kepada masyarakat asing terutamanya pelancong untuk menerima zaman globalisasi dengan sikap toleransi serta hormat-menghormati.
Selain itu, keunikan budaya kita dari segi seni kulinari, seni pakaian dan juga kraftangan seharusnya mendapat perhatian pelancong asing. Kehadiran mereka dapat merancakkan industri kreatif di sebalik budaya yang semakin dilupakan dek kerana zaman. Pengusaha kraf tangan misalnya dapat menjual produk mereka kepada pelancong asing dan meningkatkan pendapatan diri serta negara. Ironinya, industri pelancongan bukan sahaja meningkatkan imej negara tetapi juga ekonominya.
Isi 3
Walau bagaimanapun, industri pelancongan turut memberi kesan negatif kepada negara seperti kemusnahan flora dan fauna. Umum mengetahui bahawa negara kita dikelilingi dengan gunung-ganang dan pantai peranginan yang menarik kedatangan pelancong. Dengan peningkatan jumlah pengunjung dari tahun ke tahun, jumlah pembangunan pusat pelancongan seperti hotel dan rumah peranginan juga bertambah.
Kelemahan penguatkuasaan di negara kita telah membenarkan individu yang tidak bertangungjawab untuk menceroboh kawasan-kawasan yang tidak sesuai untuk pembangunan dan membina rumah peranginan. Sebagai contoh kawasan tanah tinggi yang tidak sesuai untuk pembangunan telah padat dengan pelbagai pembangunan sehingga menyebabkan tanah runtuh dan banjir di kawasan yang lebih rendah. Tegasnya, pihak berkuasa perlu mengawal pembangunan di kawasan pelancongan supaya kemusnahan flora dan fauna dapat dikawal serta bencana alam dapat dielakkan.
Isi 4
Pada masa yang sama, industri pelancongan memberikan kesan negatif kepada masyarakat tempatan apabila pelancong asing membawa masuk budaya negatif mereka. Tamsilnya, budaya minum arak yang merupakan satu kebiasaan bagi pelancong asing tetapi tidak bagi masyarakat kita. Sikap tidak endah segelintir pelancong yang meminum arak secara terbuka boleh menjadi pengaruh kepada anak muda untuk mencuba perkara yang sia-sia tersebut.
Pergaulan bebas antara satu sama lain juga merupakan salah satu perkara negatif yang dibawa oleh pelancong asing. Perkara ini menjadi satu kejanggalan dalam kalangan masyarakat kita kerana adat dan budaya keagamaan yang kuat diamalkan oleh anggota masyarakat. Maka, pelancong asing seharusnya menghormati adat dan budaya tempatan supaya budaya negatif mereka tidak menjadi ikutan masyarakat tempatan. Ibarat peribahasa, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.
Penutup
Kesimpulannya, perkembangan industri pelancongan memberikan kesan secara positif dan negatif. Kita tidak boleh nafikan bahawa industri pelancongan merupakan antara penyumbang ekonomi negara dan juga masyarakat tempatan. Sebaliknya, setiap pihak perlu memperbaiki kekurangan yang dihadapi dan memastikan produk pelancongan kita tidak memberikan kesan negatif kepada pelancong dan ahli masyarakat. Penguatkuasaan yang lebih baik perlu dipraktikkan supaya kesan-kesan negatif industri pelancongan dapat dikurangkan di setiap peringkat. Semoga inisiatif untuk menyemarakkan industri pelancongan negara disokong dan memberikan manfaat kepada pelancong, masyarakat tempatan dan juga negara.
Related : untuk mengekalkan, sektor pelancongan, kesan negatif industri pelancongan, jelaslah bahawa sektor pelancongan, jenayah di negara, sektor pelancongan turut, sektor pelancongan di negara, pusat membeli belah, pelancong asing yang dibawa oleh pelancong asing yang datang ke negara,