Pelajar lazimnya diberikan latihan untuk menjawab penulisan karangan Bahasa Melayu berdasarkan soalan-soalan tertentu. Contohnya, soalan berkaitan alam sekitar, pengalaman sebagai seornag pelajar dan faedah atau manfaat sesuatu. Oleh yang demikian, anda perlu meluaskan pengetahuan untuk menjawab soalan-soalan tersebut. Di bawah dikongsikan contoh karangan untuk rujukan bertajuk, Cara Menangani Gejala Sosial Dalam Kalangan Remaja.
Media sering kali memaparkan berita tentang penglibatan remaja dalam gejala sosial yang memburukkan imej masyarakat kita. Namun, menuding jari kepada penyebabnya tidak akan menyelesaikan masalah. Sebaliknya perbincangan mengenai penyelesaian kepada sesuatu masalah perlu menjadi wacana masyarakat bagi mengelakkan isu ini membarah dan menjatuhkan keluhuran masyarakat kita.
Cara Mengatasi Masalah Gejala Sosial Dalam Kalangan Remaja
Berikut dikongsikan contoh karangan bertajuk cara menangani masalah gejala sosial dalam kalangan remaja untuk panduan semua.
Isi-isi penting yang diberikan boleh diolah dan dihuraikan oleh pelajar dengan penulisan yang lebih menarik.
Isi-isi penting
- Ibu dan bapa memberikan perhatian kepada anak-anak
- Didikan dan penghayatan agama serta moral
- Melibatkan diri dengan aktiviti bermanfaat seperti bersukan
- Media menunjukkan drama atau filem keburukan terlibat dalam gejala sosial
- Bijak dalam bergaul dan mencari rakan
- Masyarakat menjadi contoh teladan
Contoh Karangan Cara Menangani Gejala Sosial Dalam Kalangan Remaja
Pendahuluan
Gejala sosial secara umum bermaksud masalah yang timbul dalam aktiviti sosial seperti merokok, menghisap dadah, pergaulan bebas dan gengsterisme. Peri laku negatif ini tidak membawa sebarang manfaat kepada anggota masyarakat malah merugikan masa, sumber manusia dan juga ekonomi negara. Kebanyakan yang terlibat dengan gejala ini adalah golongan remaja yang merupakan harapan bangsa pada masa depan.
Peribahasa Melayu berkata melentur buluh biarlah dari rebungnya. Untuk melahirkan generasi yang berminda kelas pertama dan berpotensi untuk memacu negara ke tahap yang lebih baik perlu bermula sejak mereka kecil lagi. Polemik gejala sosial yang sering berlaku dalam kalangan remaja kita perlu dibendung demi kemaslahatan masa kini dan masa depan kita. Justeru, mari kita bincangkan cara-cara menangani gejala sosial dalam kalangan remaja terutamanya remaja di Malaysia.
Isi 1
Langkah pertama dan paling utama untuk mengelakkan gejala sosial membarah dalam kalangan remaja adalah dengan memastikan ibu dan bapa memberikan perhatian kepada anak-anak. Lazimnya, mereka yang terlibat dalam gejala sosial mempunyai masalah keluarga yang mendorong mereka untuk melakukan perkara yang sia-sia dan kurang perhatian serta kasih sayang.
Perhatian dan kasih sayang merupakan elemen penting yang diperlukan dalam hidup anak-anak supaya mereka tidak menjebakkan diri dalam gejala-gejala sosial. Walau sibuk macam mana pun ibu dan bapa bekerja, utamakan masa bersama anak-anak untuk mengetahui kehidupan dan masalah mereka. Ibarat pepatah, bagai menatang minyak yang penuh, begitu juga dengan membesarkan anak-anak. Intihannya, ibu dan bapa perlu memebri perhattian kepada anak-anak untuk mengatasi masalah gejala sosial.
Isi 2
Cara lain untuk membendung masalah gejala sosial adalah melalui didikan dan penghayatan agama serta moral dalam kalangan remaja. Seorang manusia memerlukan panduan untuk mencorak kehidupan mereka. Selain teladan yang ditunjukkan oleh ibu dan bapa serta ahli keluarga yang lain, peranan didikan agama dan moral juga memainkan peranan yang penting. Tidak kira agama Islam, Kristian atau Buddha, peribadi yang mulia menjadi teras kepada akhlak kehidupan setiap penganutnya.
Golongan remaja yang sibuk dengan hiburan digital masa kini seharusnya meluangkan masa juga untuk mempelajari agama. Pendidikan di sekolah atau bilik darjah tidak cukup untuk memastikan remaja menghayati nilai-nilai agama yang mendorong mereka untuk mengelakkan diri daripada terlibat dari gejala sosial. Izharnya, ibu dan bapa hendaklah memastikan anak-anak mempunyai ilmu dan penghayatan agama dan moral dalam kehidupan mereka.
Isi 3
Gejala sosial juga dapat diatasi dalam kalangan remaja dengan memastikan mereka melibatkan diri dengan aktiviti bermanfaat seperti bersukan. Remaja yang terlibat dalam gejala sosial mempunyai masa terluang yang banyak tetapi dibazirkan dengan melakukan perkara yang sia-sia. Sekiranya mereka berpeluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang seronok seperti bersukan, pastinya mereka tidak akan terjerumus dalam gejala sosial.
Penglibatan dalam aktiviti sukan misalnya dapat membantu remaja untuk menjadi lebih sihat secara fizikal dan rohani. Dalam masa yang sama, remaja boleh bersosial dengan rakan-rakan yang terlibat sama melakukan aktiviti sukan yang disertai. Kemahiran sosial dapat dipertingkatkan disamping kemahiran sukan yang membantu pertumbuhan fizikal dan juga mental mereka. Jelas bahawa melibatkan diri dalam aktiviti bermanfaat seperti sukan akan membantu membendung masalah gejala sosial.
Isi 4
Akhir sekali, kaedah yang akan membantu mengatasi isu ini dalam kalangan remaja adalah dengan peranan media menunjukkan drama atau filem keburukan terlibat dalam gejala sosial. Kita tidak boleh menafikan bahawa masyarakat kita mudah untuk terpengaruh daripada apa yang dipaparkan di media sama ada media arus perdana atau media sosial. Perkara ini membuktikan bahawa media mempunyai obligasi yang besar dalam mencorak kehidupan masyarakat kita.
Oleh itu, pihak berkuasa perlu menggalakkan media untuk memberikan teladan melalaui kandungan, drama, filem atau iklan kepada masyarakat terutamanya remaja akan keburukan terlibat dalam gejala sosial. Drama yang menunjukkan seseorang remaja masuk ke dalam sekolah juvana pernah menjadi satu fenomena dan diharapkan meninggalkan kesan yang baik kepada remaja untuk mengelakkan diri dariapda terlibat dalam perkara negatif tersebut.
Penutup
Kesimpulannya, masalah gejala sosial dalam kalangan remaja mempunyai banyak cara dan kaedah untuk diatasi demi kepentingan diri mereka. Semua pihak perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk mengekang golongan remaja daripada terlibat dalam gejala-gejala sosial. Mereka merupakan individu yang mempunyai pelbagai potensi untuk keluarga mereka, masyarakat dan juga negara. Aset ini merupakan taruhan kita yang bakal membawa masyarakat dan negara ke arah yang lebih baik atau sebaliknya. Semoga usaha membendung gejala sosial dapat disokong dan dilaksanakan secara berkesan kepada semua anggota masyarakat.
Related : tingkah laku, penyalahgunaan dadah, pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya, media massa seperti televisyen, nilai nilai murni, peranan ibu bapa, pihak kerajaan juga boleh memainkan peranan, secara langsung, golongan muda,