Malaysia telah memperkenalkan penggunaan e-dompet untuk tujuan pembayaran bil, membeli makanan, tol. petrol, barangan peribadi dan perbelanjaan runcit. Bank negara Malaysia telah mengesahkan bahawa nilai transaksi e-dompet di Malaysia melebihi RM10 bilion pada tahun 2019. Persoalannya, apakah kebaikan e-wallet dalam kalangan pengguna dan masyarakat kita? Oleh yang demikian, berikut dikongsikan contoh karangan kelebihan dan kekurangan e-dompet dalam kalangan masyarakat.
E-dompet atau e-wallet merupakan perkakasan elektronik dalam talian yang membolehkan transaksi dilakukan melalui telefon pintar atau peralatan komputer. Kebanyakan e-dompet seperti kad kredit atau debit dihubungkan kepada akaun bank pengguna untuk membuat pembayaran. Selain itu, pengguna dihubungkan melalui imbasan kod QR.
Manfaat Penggunaan e-dompet (e-Wallet) Kepada Pengguna Di Malaysia
Dalam Buku Teks Bahasa Melayu Tingkatan 5, terdapat petikan yang menyatakan kelebihan dan kekurangan penggunaan e-dompet dalam kalangan masyarakat.
Di bawah dikongsikan isi-isi penting yang berkaitan dan contoh karangan yang sesuai untuk menjawab soalan atau tajuk yang berkenaan dengan penggunaan e-dompet dalam kalangan masyarakat.
Isi-isi penting
- Kaedah pembayaran yang lebih pantas dan efisien
- Selamat jika dibandingkan dengan membawa wang tunai
- Mudah untuk mengurus perbelanjaan kerana mempunyai rekod transaksi
- Kekurangan infrastruktur rangkaian Internet
- Risiko kebocoran maklumat digital
- Senang boros dan berbelanja
Contoh Karangan Kelebihan Dan Kekurangan e-dompet Dalam Kalangan Masyarakat
Pendahuluan
Saban hari, kita diperkenalkan dengan teknologi-teknologi baharu yang bakal merubah norma masyarakat kita ke arah yang lebih baik. Antara teknologi baharu yang memberi pelbagai manfaat dan digunakan secara mendadak oleh masyarakat di Malaysia adalah teknologi e-dompet atau e-wallet. Jika sebelum ini segala urusan jual beli memerlukan kita untuk melakukan transaksi fizikal menggunakan wang tunai, kini transaksi tersebut boleh dilakukan mengggunakan telefon pintar.
Walau bagaimanapun, transaksi pembayaran menggunakan e-dompet bergantung kepada infrastruktur Internet kawasan tersebut. Sama seperti teknologi-teknologi lain yang dicipta oleh manusia, tiada yang sempurna fungsinya. Kerajaan pada hari ini menggalakkan anggota masyarakat untuk menggunakan e-dompet ini dengan pemberian kredit percuma, namun adakah ia benar-benar memberikan manfaat?. Mari kita kupas kelebihan dan kekurangan e-dompet dalam kalangan masyarakat hari ini.
Isi 1
Pertama sekali kita bincangkan kelebihan menggunakan e-dompet iaitu menjadikan kaedah pembayaran lebih pantas dan efisien. Hal ini kerana e-dompet menggunakan kaedah transaksi pembayaran secara maya dengan mengimbas Kod QR, kod bar atau memasukkan akaun penerima dalam sistem pembayaran. Sama seperti imbasan kad kredit dan kad debit, tetapi pengguna hanya perlu menggunakan telefon pintar dan tidak perlu membawa dompet yang tebal dengan wang tunai atau kad-kad tertentu.
Faktor kelajuan Internet dan telefon pintar yang memainkan peranan utama penggunaan e-dompet ini. Kelebihan yang dilihat adalah kita mempunyai pilihan alternatif jika wang tunai habis dan tidak mempunyai masa untuk mengeluarkannya daripada mesin ATM di bank. Begitu juga dengan situasi dompet tertinggal tetapi kita membawa telefon bimbit yang boleh digunakan untuk membeli atau membayar sesuatu. Jelas bahawa e-dompet memberikan kemudahan dari segi penjimatan masa.
Isi 2
Kelebihan lain yang diperoleh masyarakat apabila menggunakan e-dompet adalah mudah untuk mengurus perbelanjaan. Sekiranya kita membuat transaksi pembayaran melalui e-dompet, sistem perbankan akan merekod jumlah transaksi yang dibuat. Ciri ini membantu kita untuk melihat rekod-rekod pembayaran dan membuat pengurusan perbelanjaan diri mahupun syarikat. Pembayaran menggunakan wang tunai secara fizikal kadang kala tidak mempunyai rekod selain daripada resit yang menyumbang kepada pembaziran kertas.
Aplikasi-aplikasi perbankan yang menawarkan e-dompet juga telah banyak memperkenalkan ciri-ciri seperti tabung dan penolakan duit secara automatik jika kita ingan menetapkan pembayaran komitmen mengikut tempoh tertentu. Ciri ini secara langsung membantu kita sebagai manusia untuk mengurus kewangan dengan lebih baik dan berkesan. Intihannya, masyarakat dapat memanfaatkan e-dompet dengan menguruskan rekod serta transaksi kewangan dengan lebih mudah.
Isi 3
Dari sudut pandang yang berbeza, kekurangan e-dompet yang dapat dilihat pada hari ini adalah kebergantungannya kepada infrastruktur Internet dan perkhidmatan e-dompet yang terbatas. Sebagai contoh, rangkaian Internet di kawasan pedalaman dan luar bandar tidak stabil dan laju berbanding di kawasan bandar. Pembayaran menggunakan kaedah konvensional masih lagi menjadi kaedah pilihan masyarakat di kawasan kampung.
Begitu juga dengan pengusaha kedai-kedai yang hanya menerima perkhidmatan e-dompet tertentu seperti Touch N Go. Pengguna pula lebih gemar menggunakan perkhidmatan e-dompet yang lain di mana mereka mendapat ganjaran seperti pulangan wang yang lebih berbaloi. Situasi ini sebenarnya telah pun diselesaiakn dengan pengenalan DuitNow yang menjadi Kod QR universal kepada semua perkhidmatan e-dompet di Malaysia. Intihannya, penggunaan e-dompet masih tidak stabil jika infrastruktur Interner kita tidak menyeluruh.
Isi 4
Pada masa yang sama, penggunaan e-dompet menyumbang kepada risiko kebocoran maklumat peribadi masyarakat. Untuk mendaftar penggunaan e-dompet, pengguna perlu memasukkan data peribadi seperti nombor telefon, nombor kad pengenalan dan nombor akaun bank. Walaupun perkhidmatan e-dompet menyediakan proses identiti dan verifikasi sebelum memasuki aplikasi yang digunakan, namun penggodam siber mampu untuk menyelinap masuk ke dalam sistem untuk mendapatkan maklumat kita.
Mutakhir ini, kes penipuan dalam talian semakin meningkat dan merugikan mangsa. Mereka yang kurang mahir menggunakan teknologi dan mudah terpedaya dengan sendiket jenayah ini berkemungkinan telah terdedah kepada kecurian maklumat di atas talian. Agensi kerajaan memainkan peranan penting untuk membendung perkara ini daripada berulang dan kita sebagai masyarakat perlu mendidik orang awam serta menggunakan perkhidmatan e-dompet yang diiktiraf serta menjamin keselamatan maklumat peribadi.
Penutup
Sebagai kesimpulan, terdapat banyak kelebihan dan kekurangan penggunaan e-dompet dalam masyarakat di Malaysia. Teknologi secara amnya dicipta untuk memudahkan kita sebagai manusia dalam menyelesaikan sesuatu perkara. Begitu juga dengan teknologi e-dompet yang menjadi alternatif terbaik kepada kaedah pembayaran menggunakan wang tunai. Seperti teknologi lain yang kita nikmati pada hari ini, e-dompet akan mengambil masa untuk diadaptasi secara sepenuhnya dalam kehidupan masyarakat dan apabila perkara tersebut menjadi realiti, masyarakat nirtunai akan dilahirkan. Jenayah samun dan ragut dapat dibanteras serta keselamatan wang kita lebih terjamin daripada sebelum ini.
Related : peredaran uang palsu, penggunaan dompet digital, kekurangan e wallet, uang tunai, aplikasi e wallet, digunakan untuk transaksi, menyimpan uang, untuk membayar, biaya administrasi, transaksi lebih cepat, secara digital
e wallet memiliki, penggunaan e wallet, dompet digital atau e wallet, salah satu, biaya transaksi,