Adakah anda berminat untuk menyambung pengajian di luar negara selepas habis pengajian di peringkat sekolah menengah? Adakah anda tahu risiko dan cabaran yang bakal dihadapi jika anda mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran di luar negara berbanding di dalam negara? Sebagai rujukan, berikut dikongsikan contoh karangan kebaikan dan keburukan belajar di luar negara.
Para pelajar yang cemerlang secara lazimnya menginginkan tajaan atau biasiswa untuk menuntut di peringkat pengajian tinggi di luar negara. Hal ini kerana universiti-universiti terkemuka dunia terdapat di luar negara seperti University of Cambridges di United Kingdom dan Stanford University di Amerika Syarikat. Penyertaan pelajar di dalam universiti terbabit dapat mengharumkan nama diri, keluarga dan negara serta menjamin masa hadapan yang baik.
Contoh Karangan Kelebihan Dan Keburukan Belajar Di Luar Negara
Melanjutkan pengajian di luar negara sudah menjadi kelaziman bagi masyarakat kita yang berkemampuan tetapi bagi mereka yang tidak mempunyai sokongan kewangan, adalah langkah untuk belajar di luar negara satu perkara yang wajar dilakukan?
Jawapan kepada persoalan tersebut boleh dirujuk di bawah dalam bentuk penulisan karangan Bahasa Melayu bertajuk kebaikan dan keburukan belajar di luar negara.
Isi-isi penting
- Belajar berdikari dan keluar daripada zon selesa
- Mempelajari budaya baharu
- Berpeluang untuk bekerja di luar negara
- Mengalami kejutan budaya
- Kos kehidupan yang tinggi
- Hidup berjauhan daripada keluarga
Pendahuluan
Setiap insan dimuka bumi ini mengimpikan segala yang terbaik untuk hidup masing-masing. Sebagai pelajar, pastinya untuk mencapai tahap pengajian di peringkat tertinggi adalah satu cita-cita yang ingin digarap. Apatah lagi menyambung pengajian di luar negara di mana pelajar akan bersaing bersama-sama golongan cerdik pandai daripada serata dunia di universiti-universiti terkemuka.
Selain daripada tajaan ibu atau bapa, pelajar berpeluang untuk menyambung pelajaran di luar negara dengan memohon biasiswa yang ditawarkan oleh banyak agensi kerajaan mahupun swasta. Sekiranya anda menepati kriteria yang ditetapkan, peluang keemasan ini perlu diambil dengan penuh komited dan tidak boleh di sia-siakan. Oleh itu, mari kita bincangkan kebaikan dan keburukan belajar di luar negara untuk membantu pelajar yang bertuah dalam membuat pilihan yang terbaik.
Isi 1
Antara kebaikan yang bakal diperoleh seorang pelajar apabila menyambung pengajian di luar negara adalah kebolehan untuk belajar berdikari. Setibanya pelajar di negara asing, setiap perkara daripada menguruskan hal ehwal pengajian, kewangan, kesihatan, makan, minum dan kebajikan diri perlu dibuat oleh diri sendiri. Tanggungjawab ini merupakan satu amanah yang jika berat untuk dipikul maka pelajar tidak mampu untuk menyambung pengajian di luar negara.
Langkah ini secara langsung dapat membawa pelajar keluar daripada zon selesa. Anda perlu beradaptasi dengan corak kehidupan di negara asing, bergaul dengan masyarakat asing dan dalam masa yang sama mengikuti pengajian di universiti. Pepatah Melayu berkata, tidak ada gunung yang tidak dapat didaki, tidak ada lurah yang tidak boleh dituruni. Jika anda berazam untuk menyambung pengajian di luar negara, tugas untuk menguruskan diri sendiri ini adalah kebaikan yang bakal diperoleh dari hari ke hari.
Isi 2
Di samping itu, belajar di luar negara dapat membantu seseorang untuk melihat dan mempelajari budaya baharu. Dalam proses untuk berdikari, pelajar perlu memahami budaya masyarakat di kawasan pengajian dan kediaman anda. Dari situ, anda akan membuka mata dan minda dalam menghargai dan memahami kehidupan yang berlainan dari norma masyarakat kita di negara sendiri.
Sifat seperti katak dibawah tempurung dapat dielakkan oleh pelajar kita yang bakal menjadi pemimpin negara pada suatu masa akan datang. Dengan pengalaman berharga ini, ia akan membentuk seorang individu yang lebih terbuka terhadap idea dan pandangan orang lain yang mana signifikan untuk melahirkan generasi yang progesif. Persis kata mutiara, jauh perjalanan, luas pemandangan. Tuntasnya, belajar di luar negara dapat membuka fikiran dan memperoleh lebih banyak ilmu serta pengetahuan dalam kehidupan para pelajar.
Isi 3
Dari segi keburukan belajar di luar negara pula, pelajar akan mengalami kejutan budaya. Apabila pelajar berjauhan daripada keluarga dan perlu hidup berdikari, banyak cabaran yang bakal dihadapi. Sebagai contoh, anda menyambung pengajian di negara Jepun yang mempunyai perbezaan bahasa, budaya dan suasana. Anda perlu berkomunikasi menggunakan bahasa tempatan, menikmati sajian makanan tempatan dan bergaul dengan budaya tempatan.
Hanya jati diri dan kekuatan iman yang akan membentuk kemampuan diri masing-masing untuk bertahan sepanjang tempoh pengajain di luar negara. Lebih-lebih lagi bagi pelajar beragama Islam yang terdedah kepada budaya asing seperti minum arak secara terbuka dan pergaulan bebas secara sosial. Turutkan rasa binasa, turutkan hati mati. Perumpamaan ini jelas menunjukkan bahawa jika pelajar gagal mengadaptasi kejutan budaya yang dialami, fokus untuk belajar di luar negara akan terganggu.
Isi 4
Keburukan lain yang bakal dihadapi oleh penuntut di luar negara adalah kos sara hidup yang tinggi. Situasi ini lebih terkesan kepada mereka yang menggunakan sumber kewangan sendiri apabila menuntut di luar negara. Tetapi pelajar yang menerima tajaan dan biasiswa juga perlu mengambil perhatian kerana elaun sara hidup perlu digunakan sebaik mungkin supaya tidak membazir. Amalan berjimat-cermat seperti memasak bersama-sama rakan serumah adalah digalakkan berbanding membeli juadah di restoran.
Terdapat kes di mana pelajar terpaksa menamatkan pengajian di luar negara kerana ibu dan bapa tidak dapat menanggung kos anak mereka walaupun anak tersebut membuat kerja sampingan sambil belajar. Situasi ini akan memberikan tekanan kepada pelajar kerana perhatian untuk menamatkan pengajian akan terganggu kerana perlu bekerja sambilan yang menggunakan tenaga fizikal. Intihannya, keburukan belajar di luar negara adalah kos sara hidup yang tinggi menjadikan ia salah satu faktor yang perlu dipertimbangkan dengan baik.
Penutup
Konklusinya, ada kebaikan dan juga keburukan apabila pelajar ingin melanjutkan pengajian di luar negara. Secara realitinya, ramai mahasiswa dan mahasiswi dari Malaysia yang berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang di luar negara. Bukti ini jelas menunjukkan kebolehan anak watan kita untuk mengecapi kejayaan di menara gading walaupun berhadapan perlabagi risiko dan cabaran. Jika diberi peluang untuk ke luar negara, sahutlah cabaran tersebut dengan penuh illtizam. KIta juga tidak boleh nafikan institusi-institusi pengajian di dalam negara yang turut menghasilkan graduan yang berkualiti dan berguna untuk negara. Walau apa pun pilihan pelajar, yang penting adalah genggam bara api biar sampai jadi arang.
Related : kebaikan belajar di luar negara, untuk membuat,