Adakah anda tertanya-tanya apakah bentuk soalan yang akan diberikan berkenaan penulisan karangan Bahasa Melayu? Sekiranya ya, anda perlu sentiasa bersikap proaktif dengan mencari sumber rujukan tambahan atau melakukan latihan tambahan supaya dapat membiasakan diri dengan pelbagai tajuk atau tema yang diberikan. Berikut dikongsikan contoh karangan peranan ibu bapa dalam usaha memupuk amalan gaya hidup sihat sebagai rujukan.
Apabila menerima soalan yang berbentuk kesihatan, pelajar pasti dapat memikirkan idea atau isi-isi penting yang berkaitan dengan mudah. Oleh itu, pelajar perlu memastikan huraian serta contoh yang diberikan adalah tepat dan menarik untuk guru-guru membaca hasil karangan anda. Penggunaan tatabahasa serta gaya yang menarik dan sesuai juga menjadi faktor yang akan menentukan tahap penulisan karangan masing-masing.
Peranan Ibu Bapa Memupuk Amalan Gaya Hidup Sihat
Isi-isi penting
i) Membuat pemeriksaan kesihatan
ii) Mengamalkan pemakanan yang seimbang
iii) Melakukan aktiviti riadah
iv) Menjalinkan komunikasi yang baik dengan anak
v) Memupuk sifat kebersihan diri
vi) Menziarahi orang yang sakit
Contoh Karangan Peranan Ibu Bapa Dalam Usaha Memupuk Amalan Gaya Hidup Sihat
Pendahuluan
Marcapada ini, golongan muda lebih gemar untuk menghabiskan masa di rumah untuk bermain permainan video sama ada menggunakan telefon atau komputer. Kesedaran dalam mengamalkan cara ini semakin berkurangan kerana ia dianggap remeh dan memerlukan tenaga yang banyak. Cara ini adalah cara hidup yang boleh mengurangkan risiko penyakit serta memberi seribu satu manfaat kepada individu yang mengamalkannya. Secara statistik, rakyat Malaysia merupakan antara yang tertinggi dalam menghidapi penyakit obesiti berbanding dengan negara-negara lain di Asia tenggara.
Kita juga boleh lihat secara zahir masih ramai di antara kita yang merokok dan tidak mengamalkan gaya hidup yang sihat. Ianya kerana tiada waktu senggang dek sibuk bekerja. Akibat menghisap rokok, mereka menghidap penyakit berbahaya seperti serangan jantung, paru-paru rosak dan kencing manis. Umum sedia maklum bahawa, ibu dan bapa bertanggungjawab dalam membesarkan dan mendidik anak-anak. Maka wajar untuk kita bincangkan peranan ibu bapa dalam usaha memupuk gaya hidup sihat.
Isi 1
Peranan yang boleh dilakukan oleh ibu dan bapa dalam memastikan anak-anak mengamalkan gaya hidup sihat adalah dengan membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala. Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya bersyukur dan menggunakan manfaat yang ada kerana akses kepada perkhidmatan kesihatan awam mahupun swasta mudah untuk didapati. Ibu dan bapa seharusnya membawa anak-anak menjalani pemeriksaan kesihatan seperti rawatan gigi sekurang-kurangnya enam bulan sekali dalam setahun.
Tindakan ini adalah mustahak sebagai langkah berjaga-jaga dan untuk mengesan sekiranya anak-anak kita menghidapi sebarang penyakit. Dengan pengesanan awal, kita dapat menyegerakan rawatan awal dan peluang untuk kembali sembuh adalah lebih baik. Bak kata pepatah Melayu, mencegah lebih baik daripada merawat. Tambahan pula, dengan menjalani pemeriksaan kesihatan, kita boleh mendapatkan nasihat dan saranan daripada pengamal perubatan yang bertauliah dalam gaya hidup yang sesuai untuk diamalkan oleh diri dan ahli keluarga kita dalam kehidupan seharian.
Isi 2
Pada masa yang sama, ibu dan bapa hendaklah mengamalkan pemakanan seimbang di rumah sebagai langkah untuk memastikan anak-anak mempunyai gaya hidup yang sihat. Ibu dan bapa perlu maklum bahawa makanan yang seimbang mengandungi nutrien seperti karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan garam galian pada kadar yang betul penting untuk mereka. Jika ditelusuri, masyarakat kita semakin hari semakin gemar untuk menikmati hidangan makanan di restoran dan gerai jalanan.
Tidak dinafikan bahawa budaya makan di restoran adalah penting dalam meningkatkan ekonomi setempat namun kadar nutrien dan keselamatan makanan tersebut tidak terjamin. Justeru, ibu dan bapa digalakkan untuk meluangkan masa menyediakan makanan di rumah. Hal ini demikian kerana, kita dapat memastikan sumber makanan yang dimasak adalah bersih dan selamat serta dimasak pada kadar nutrisi yang mencukupi. Tiada penggunaan perencah tambahan seperti MSG dan penggunaan minyak yang berlebihan. Intihannya, tabiat pemakanan seimbang berdasarkan piramid makanan hendaklah diusahakan oleh ibu dan bapa agar anak-anak membiasakan diri dan mengamalkannya secara rutin.
Isi 3
Di samping itu, ibu dan bapa berperanan memastikan anak-anak mengamalkan gaya ini dengan melakukan aktiviti riadah di luar rumah bersama mereka. Aktiviti riadah lazimnya dilakukan pada masa lapang dan boleh dibuat secara santai ataupun melibatkan intensiti yang tinggi. Sebagai contoh, aktiviti berjoging, mengutip sampah sarap atau berbasikal di taman rekreasi bukan sahaja dapat mengeluarkan peluh malah dapat mengeratkan lagi hubungan antara ahli keluarga. Selain itu, ibu dan bapa juga boleh menggalakkan anak-anak dalam bidang sukan sama ada di sekolah ataupun secara sendirian dengan menghantar mereka menyertai kejohanan yang berkaitan.
Cadangan ini bukan sahaja memastikan anak kita mengamalkan gaya hidup sihat dan melakukan aktiviti senaman tetapi membantu mereka untuk membesar dalam persekitaran yang sihat serta kompetitif. Anak-anak juga akan terdedah kepada disiplin dan semangat yang timbul untuk berjaya dalam aktiviti sukan yang disertai seterusnya membentuk jati diri yang kuat dalam diri mereka. Kesannya, anak-anak bukan sahaja akan mengamalkan gaya hidup yang sihat malah mempunyai ketrampilan dan personaliti yang menarik persis kata mutiara, badan sihat otak cerdas.
Isi 4
Akhir sekali, menjalinkan komunikasi yang baik antara ibu dan bapa dengan anak-anak adalah salah satu kaedah dalam memastikan gaya hidup sihat menjadi amalan keluarga. Mutakhir ini, kita sering kali disiarkan televisyen dan dada akhbar tentang masalah kesihatan mental dan depresi sehingga meragut nyawa mangsa. Polemik ini timbul kerana masyarakat kita semakin ditekan ekonomi yang tidak menentu dan pengaruh media sosial. Ianya menjadi antara faktor menyebabkan mangsa tertekan dan tidak boleh menghadapi realiti sehingga menjejaskan kesihatan. Ibu dan bapa seharusnya mempunyai komunikasi yang baik dengan anak-anak di mana mereka tidak takut atau segan untuk berkongsi masalah.
Fikiran atau stigma seperti ibu dan bapa perlu mendidik anak-anak mereka sebagaimana mereka dibesarkan dahulu adalah kurang tepat. Hal ini kerana pelbagai faktor yang menyumbang kepada perbezaan zaman dahulu dan sekarang. Oleh itu, setiap ibu dan bapa berfikiran terbuka dan sentiasa mempelajari cara-cara terbaik untuk berkomunikasi dan mendidik anak-anak. Supaya menjadi insan yang berguna kepada keluarga, masyarakat dan negara. Tegasnya, kesihatan anak-anak bukan sahaja dari sudut fizikal tetapi kesihatan mental juga perlu diberi perhatian supaya kesihatan yang holistik akan diperoleh.
Penutup
Berdasarkan perbincangan di atas, kita dapat simpulkan bahawa ibu dan bapa memainkan peranan yang besar untuk memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak. Usaha ini sebenarnya telah pun dijalankan di pelbagai peringkat khususnya di institusi pendidikan seperti sekolah dan universiti. Penglibatan aktif daripada pelajar dalam aktiviti berbentuk kokurikulum pasti dapat menyemarakkan semangat dalam mengamalkan gaya hidup sihat. Semoga dengan kesedaran dan kerjasama pelbagai pihak dalam memastikan masyarakat kita mengamalkan budaya melahirkan nusa bangsa yang intelik dan progesif. Peribahasa Melayu berkata, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Yang membawa maksud jika kita betul-betul menginginkan perkara tersebut berlaku, tiada alasan dan rintangan yang mampu menghalang kita untuk berjaya.
Related : berat badan menjaga pemakanan, mendapat penyakit, tubuh badan, aktiviti fizikal, tidur yang, untuk menjadi, menjaga kesihatan, penyakit jantung, pemakanan sihat, tekanan darah, jenis makanan, darah tinggi, menjaga kesihatan, angin ahmar tekanan darah tinggi, cara mengamalkan gaya hidup yang sihat, 30 minit, pelbagai jenis, 10 minit, memastikan kesihatan, pelbagai penyakit,